Monday, April 21, 2008

ADA CINTA : Sedikit sedutan dari BAB 10 & 12 ......Selamat membaca!!

Bab 10

Qasrina memang tidak lalu hendak makan. Sebelum bertemu dengan Danish memang perutnya kosong minta diisi tetapi kini seleranya telah mati.
“Pemalu dan bersopan rupanya kawan Wina ni. Dari tadi langsung tak bercakap.” Kata-kata Danish mendapat jelingan tajam daripada Qasrina. Nampaknya lelaki itu sengaja mengusiknya. Tak boleh duduk diam-diam dan makan saja ke? Getus Qasrina sendiri. Namun dibiarkan saja pandangan mata Danish yang tertumpah padanya.
“Eh, tak adalah. First time jumpa memang macam ni, kalau sudah selalu tak adalah macam ni, lebih teruk adalah.” Balas Darwina sambil ketawa. Qasrina menjeling temannya itu, tanda tidak senang diusik begitu. Danish tersenyum, tidak setuju dengan kata-kata itu. Kali pertama jumpa memang sudah teruk, apatah lagi pada pertemuan seterusnya.
“Oh ya ke? Tapi seingat uncle, kali pertama jumpa dulu tidaklah sesopan dan semalu ini, kan?” Qasrina tersentak. Sungguh dia tidak menyangka Danish akan memberitahu yang mereka pernah bertemu dan telah saling mengenali. Darwina dan Khalisah terpinga memandang mereka berdua. Qasina cuba tersenyum walaupun dia tahu senyumannya tidak semanis mana. Dia jadi malu, lalu menjeling pada Danish yang memandangnya dengan bersahaja.
“Dah pernah berjumpa? Di mana?” Pertanyaan Darwina membuatkan Qasrina kelu hendak bersuara. Dipandang sekilas pada Danish dan ketika hendak membuka mulut, Danish lebih dulu menjawab.
“Adalah mana boleh beritahu, rahsia. Betul tak?” Balas Danish sambil menolak bahu Qasrina dengan bahunya. Qasrina menoleh dan memandang Danish dengan rasa pelik. Ish…sengol-sengol bahulah pulak!
“Tak kan itu pun nak rahsia?” Darwina masih tidak puas hati.
“Tak payah beritahu dia, nanti kecoh satu dunia. Bukannya boleh simpan rahsia budak tu.” Bisik Danish kepada Qasrina dengan agak kuat, sengaja mahu Darwina mendengarinya. Kini Qasrina jadi serba salah, lebih-lebih apabila melihat perubahan reaksi Khalisah.“Uhh…sampai hati uncle!” Protes Darwina sambil memuncungkan mulut dan memeluk tubuhnya. Danish tersenyum tetapi Khalisah sudah tidak mampu bertahan, keresahannya menggunung. Timbul pelbagai andaian dan persoalan di benak fikirannya, bagaimana pertemuan mereka. Danish dan Khalisah meninggalkan mereka berdua sebaik selesai makan. Lalu Darwina dengan pantas memaksanya menceritakan bagaimana dia boleh mengenali pakciknya itu.
“Aku pun peliklah, dalam banyak-banyak orang dalam dunia ni, kenapa aku boleh kenal dia. Uncle kau pula tu.” Kata Qasrina perlahan. Darwina merenung pelik.
“Kau ada apa-apa ke dengan uncle aku? Manalah tahu dalam diam….ehem, ehem?” Usikan Darwina membuatkan Qasrina menjeling marah.
“Hish…pakcik dengan anak saudara sama aje!” Getus Qasrina terus melangkah, malas hendak melayan Darwina yang mula melalut.

Bab 12

Qasrina yang sejak tadi tidak berganjak berada di taman masih membisu dan berdiri kaku. Sekujur tubuhnya masih menggeletar. Dia masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Semuanya berlaku begitu pantas sehingga dia tidak mampu untuk bertindak. Dadanya masih berdebar kencang, tidak tergambar betapa terkejutnya dia saat itu. Dalam sesaat dia telah menjadi tunangan orang. Ah…pandai-pandai saja mama dan papa menetapkan jodoh! Kenapa tidak ditanya kepadanya terlebih dahulu? Qasrina merintih sendiri. Hendak menangis air mata tidak mahu tumpah, sudah membeku barangkali.
“Seronok sangat dapat bertunang kat tepi kolam macam ni?” Kata-kata kasar Danish menampar gegedang telinganya. Tanpa disedari Danish sudah terpacak di hadapannya. Danish merenung bagai hendak menelannya hidup-hidup.
“Kau dah tahu dari awal, kan? Kenapa tak beritahu pada aku?” Qasrina mengerutkan dahi. Agak terkejut kerana bicara Danish keras dan kasar. Jika sebelum ini lelaki itu membahasakan diri, saya, awak kini sudah digantikan pula dengan aku dan kau.
“Memang seronok sangat dapat bertunang macam ni! Romantik, kan? Tapi kalau kita tahu dari awal lagi, dah lama kita panggil tok kadi nikahkan sekali.” Balasan Qasrina bersahaja membuatkan Danish sakit hati.
“Kau ni…..arrgghhh!” Danish tidak dapat meneruskan kata-katanya kerana dia cuba menahan rasa geram, marah dan kecewa yang bersatu. Pandangan masih tertumpah terhadap Qasrina. Qasrina sekadar melirik dan dia puas hati melihat lelaki itu tidak dapat menghamburkan kemarahannya. Bukan kehendaknya mahu jadi begini, sepatutnya dalam keadaan seperti ini dia yang lebih resah. Bagaimana budak sekolah sepertinya boleh bertunang. Kalau teman-temannya tahu bagaimana? Tentu mereka akan mengejek dan mengusiknya. Dia tidak sanggup menghadapi situasi itu dan sekarang dia jadi lebih rimas dan lemas melihat lelaki di hadapannya itu. Daripada terus gila melayan lelaki itu lebih baik dia pergi namun tangannya sempat disambar oleh Danish. Dia ingin menarik tangannya semula tetapi Danish semakin kuat menggenggamnya.
“Tak kan nak lari macam tu saja?”
“Habis tu, nak suruh kita buat apa?” Suara Qasrina mula meninggi. Dengan sekuat tenaga dia merentap semula tangannya sehingga terlepas daripada pegangan Danish. Bukan dia punya kuasa mampu mengubah apa yang telah terjadi. “Macamlah kita ingin sangat nak bertunang dengan dia!” Qasrina pasti Danish mendengar bebelannya itu. Biar lelaki itu tahu bahawa dia juga tidak ingin atau sudi menjadi tunangannya.


1 comment:

Alif Sahlan said...

Akak boleh tak postkan full novel ni. Saya merayu. Sbb saya dah cari kt semua tmpat sampai kt online tp semuanua dah habis stok. Please akak.. ��