Monday, March 10, 2008

ADA CINTA, manuskrip sulung dari saya yang akan diterbitkan tidak lama lagi, silakan membacanya !

Ada Cinta
Bab 1
Qasrina segera keluar dari perut kereta. Sebuah kereta Honda CRV berwarna hitam sudahpun mencium bumper keretanya. Aduhai, belum sebulan dia memandu kereta itu, kini kereta kesayangan dilanggar orang. Hendak menangis dia ketika itu apabila melihat boot yang kemek dan bumper yang terebeh. Seorang lelaki keluar dan berjalan dengan tenang menuju ke arahnya. Alahai, macam modellah pulak nak buat catwalk kat sini, tak sesuai! Dia bertambah geram apabila terpamer wajah selamba lelaki itu, seolah tiada apa yang berlaku. Lelaki itu menjenguk sepintas lalu bumper keretanya sebelum membuka kaca mata yang dipakai. Walaupun dia merasa sedikit terpegun namun cepat-cepat pandangan dialihkan semula merenung kerosakan keretanya. Tapi hatinya masih sempat berdesis, tampan!
"Tengok awak laju semacam tadi, ingatkan nak redah saja tapi tiba-tiba berhenti pulak, tak sempatlah abang nak tekan brek. Kalau jalan terus tadi sempat lagi." Bicara lelaki itu menambah kemarahan Qasrina. Sudahlah keretanya dilanggar dan mujur juga dia tidak cedera, boleh pula lelaki itu menyalahkan dirinya. Berabang dan adik pulak…rungutnya sendiri.
"Dah langgar kereta orang, nak salahkan kita pulak! Hai, ada lesen ke tidak? Laju atau tidak, dah nampak lampu merah, tak kan tak reti-reti nak berhenti?" Lelaki itu mengerutkan dahi. Mungkin terkejut kerana dia membalas dengan kasar. Bunyi hon sana sini dan keadaan ketika itu memang membingitkan. Apa tidaknya lampu hijau sudah menyala, kenderaan di belakang sudah tidak sabar hendak bergerak. Ada juga yang sempat menjenguk dan memandang semasa melepasi mereka. Lelaki itu pula memandang jam di lengan, seolah memberi isyarat ingin segera beredar dari situ.
"Orang belakang dah bising lagipun abang nak cepat ni, ini kad abang apa-apa nanti just call. Abang ganti semuanya, ok?" Lelaki itu telah pun menghulurkan sekeping kad kepadanya. Dengan rasa marah dan geram yang masih berbaki, kad itu disambut dengan kasar. Sempat dia membelek kad itu dan satu jelingan tajam dilemparkan kepada lelaki itu.
"Kad ni betul ke tidak? Maklumlah sekarang ni dah semakin ramai penipu dan penyangak." Lelaki itu ketawa dan menggelengkan kepala. Sebelum lelaki itu melangkah dan masuk ke dalam kereta, sempat menggunakan isyarat tangan sebagai pengganti bicara agar dia menelefon. Honda CRV itu berundur sedikit sebelum maju ke hadapan semula. Eh, sempat pula melambaikan tangan. Dia sekadar mencebik.

~***~~***~


"Kita ingat kita nak tukar bumper tu. Kalau masuk body kit Satria GTI, orait tak?" Soal Qasrina sambil merenung kereta Satrianya yang kini sudah tersadai di bengkel. Roy tersenyum sambil mengangkat bahu.
"Memang orait sangat, barulah nampak cun!" Balas Roy sambil menunjukkan kedua-dua ibu jari tangannya. Qasrina tersenyum.
"Agak-agak bila siap?" Roy diam seketika, berfikir.
"Dua minggu kut?" Qasrina mula resah, dua minggu cukup lama baginya. Susahlah dia hendak bergerak nanti. Alamat patah kakilah!
"Tak boleh cepat lagi ke?" Roy mengaru kepala, hendak berjanji tidak berani. Manalah tahu kalau dia tidak boleh menyiapkan dalam masa terdekat.
"Stok body kit tu tak ada, kena order dulu. Kalau cepat sampai, cepatlah siap." Balas Roy. Qasrina mencebik sebelum mengangguk setuju.
"Oklah…tapi kalau boleh cepatlah sikit."
"Yalah…"
Sebelum dia hendak meninggalkan bengkel itu, matanya terpandang pada sebuah kereta Mitsubishi Evo 6 berwarna putih. Terpaut hatinya melihat kereta itu. Qasrina merenung rim kereta itu. Kebiasaanya, dia hanya pernah melihat kereta jenis itu menggunakan rim tujuh belas inci. Tetapi kini kereta itu menggunakan rim lapan belas inci Ralli Art dipadankan pula dengan tayar Advan. Memang menarik sekali.
"Amacam, sporty tak?" Soal Roy sambil bersandar di kereta itu. Qasrina mengangguk beberapa kali tanda setuju.
"Nak bikin kereta jadi macam ni? Nak tukar sport rim ke?" Qasrina menoleh memandang Roy, mekanik yang baru dikenalinya itu. Lelaki itu mempunyai senyuman yang agak manis. Orangnya tinggi, bertubuh sasa tetapi berkulit agak gelap sedikit. Kalau berkulit cerah tentu lebih tampan. Dia tersenyum.
"Memanglah nak…kalau boleh kita nak rim tujuh belas dan tayar Michelin, baru nanti nak main connering tayar akan lebih mencengkam, tak menyasar." Roy mengangkat kening. Tidak sangka gadis genit itu tahu serba sedikit mengenai kereta.
"Tapi kereta akan jadi berat, tak ada pick up nanti." Beritahu Roy. Qasrina mengerutkan dahi. Roy tersengih, mula menerangkan dan memberi sedikit pandangan.
"Kena tukar extractor, air filter sport brand KN atau Apexi ke? Lepas tu klac plate tu kena tukar dengan fly wheelnya sekali. Blok kereta kena port and polish dan diimbangkan balik. Kalau enjin dah power sistem brek kena ganti yang lebih baik juga, kalau tak bahaya masa berhenti nanti. Satu lagi, nak main connering bukan tayar dan rim aje main peranan, kena pasang strut bar dan anti-rolls supaya kereta tak terbalik. Suspensi kereta pun kena tukar barulah boleh main connering ke, nak speeding maut ke. Cuma……" Qasrina tercengang seketika. Penerangan itu membuatkannya tersedar, masih banyak yang perlu diketahui tentang kereta. Hui, serabut kepala. Menyedari Roy ketawa, mungkin lucu melihat reaksinya ketika itu, cepat-cepat dia menyoal.
"Cuma apa?"
"Biasalah, lepas ni minyak memang larunglah! Tahan tak tahan jelah….." Penerangan Roy membuat Qasrina mengangkat bahu. Baginya itu bukan satu masalah, kalau sudah minat buat sajalah. Minatnya terhadap kereta memang mendalam. Kalau remaja lain sibuk membeli dan membaca majalah hiburan tetapi dia lain pula. Majalah tentang kereta menjadi pilihannya. Roy menyebak rambut dengan kedua tangannya. Rambut lurus panjang paras bahu sering kali menutupi wajah lelaki itu. Nampak macho! Tapi mana nak cekau duit? Tentulah memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk mengikuti saranan mekanik itu. Qasrina diam seketika.
"Nak bikin tak?" Pertanyaan Roy mengejutkannya. Qasrina menoleh kemudian tersenyum, manis. Mengangkat kening sebelum mengangguk.
"Tapi menda-menda cekadak tu semua tak payah bikinlah. Buat yang biasa dan patut-patut aje. Pulus tak cukup, beb!" Roy tersenyum, mengerti. Tetapi jarang benar dia bertemu dengan gadis seperti Qasrina yang berminat tentang kereta.

2 comments:

dS said...

Salam Rina, 1st time Kak DS lepak kat sini.. w'pun tanpa undangan.. kehkehkeh! Eh, sedaplah cerita ni! Mula2 aje, dh ada unsur saspen.. hmm.. berapa bab kesemuanya? Wah.. tak lama lagi, glamerlah dia! Hehehe..

Rina Farizq said...

Trimas!!!

Hish, apa pulak gitu...datang je lah walaupun tanpa undangan.... sapa2 pun boleh....

Glamer??? he he he....alah entah cam ner lah sambutannya!

Ada 50 bab....tapi tak de ler post semuanya kang tak laku plak bukunya
kah kah kah...marah pulak En Rizal nanti......