Monday, March 10, 2008

ADA CINTA : Bab 2 & 3

Bab 2

Mustakim melipat surat khabar lalu diletakkan di atas meja. Dia agak marah mendengar pengakuan Qasrina tentang kemalangan kecil yang dialaminya. Tanpa memandang pada Qasrina dia bersuara agak tegas.
"Itu yang papa bimbangkan. Walaupun tidak cedera, papa tetap risau. Sebab papa sayangkan Qas. Papa tidak mahu sesuatu yang tidak baik berlaku pada Qas. Faham?" Qasrina menundukkan wajah. Memandang nasi goreng dihadapannya.
"Bukan salah Qas bang. Orang yang langgar dari belakang, nak buat macam mana?" Sampuk Qamariah yang baru datang dari dapur sambil membawa telur separuh masak. Qasrina lega kerana mama membelanya. Mustakim mengangkat kening sambil merenung isterinya.
"Both of you should know, walaupun dalam undang-undang melanggar dari belakang memang salah tapi there’s must be a reason why the accident had happened. Jadi kita tidak boleh sambil lewa dan ambil kesempatan ini menyalahkan orang dibelakang saja. Mungkin saja orang di hadapan memandu tidak betul. In this case maybe your daughter’s fault. Manalah tahu, kan?" Mustakim merenung wajah anak kesayangannya dengan tajam. Qasrina menarik muka, tanda tidak puas hati. Qamariah mendiamkan diri sambil memandang pada Qasrina tanda simpati.
"Ingat kalau terjadi lagi perkara seumpama ini, no car!" Qasrina tersentak. Cepat-cepat dia menoleh, memandang Mustakim yang kelihatannya bersungguh. Dia tahu papanya itu akan mengotakan setiap apa yang dikatakan. Namun dia merasakan ketidakadilan lalu segera bingkas dan berlari menaiki tangga.
"Qas, breakfast dulu." Laung Qamariah. Namun Qasrina tidak mempedulikannya malah sengaja menutup pintu dengan kuat, tanda protes. Qamariah menggeleng sambil mengalihkan pandangan pada suaminya pula.
"Abang ni pun, kalau ya pun tunggulah budak tu breakfast dulu. Tengok ni, tak tercuit pun." Tegur Qamariah sambil menuangkan fresh orange ke dalam gelas sebelum meneguknya. Mustakim hanya membisu dan meneruskan sarapan.
"Saya bercakap untuk kebaikan dia. Saya sayangkan dia." Akhirnya Mustakim bersuara perlahan. Qamariah memandang lelaki yang berusia 42 tahun itu dengan rasa hormat. Dia tahu, suaminya itu memang terlalu sayangkan anak. Meskipun memanjakan Qasrina tetapi dalam sesetengah perkara Mustakim akan bertegas bila dirasakan perlu.
"Abang, dia tu sudah besar. Sekarang ni berada di alam remaja. Abang kena faham, kita pun pernah remaja. Pernah melalui apa yang mereka lalui sekarang. Sebagai ibu bapa, kita perlu menyelami jiwa mereka, gunakan psikologi untuk melentur anak. Tak bolehlah nak berkeras sangat, kenalah toleransi sikit. Qam bukan apa, takut nanti dia akan bosan bila berada di rumah sendiri. Apabila rumahku syurgaku dah tak bererti, mulalah mencari keseronokan di luar. Bercampur dan bergaul pula dengan budak-budak yang tak betul, rosaklah akhlak mereka. Remaja sekarang ni bukan abang tak tahu, sudah semakin advance! Mereka ada pendapat sendiri, ada suara hati yang perlu didengari. Jangan abaikan kehendak mereka." Ulasan Qamariah yang panjang itu membuatkan Mustakim tersenyum sambil mengangguk perlahan. Bukan dia tidak mengerti tetapi hanya ketegasan yang dapat melenturkan anaknya.
"Saya pulak yang kena ceramah." Ujar Mustakim. Qamariah ketawa.
"Saya bercakap untuk kebaikan abang. Sebab saya sayangkan abang dan anak kita." Mustakim mengulum senyum sambil merenung Qamarian dengan penuh kasih. Sedikitpun kasihnya terhadap isteri tidak terluak dek usia. Semakin hari semakin sayang, semakin cinta.


Bab 3


Danish menggosok dahi berulang kali. Kepalanya terasa pengap dan sukar untuk dia berfikir saat itu. Kertas dan fail yang berselerakan di atas meja dibiarkan. Dia menyandarkan badan ke kerusi sambil melepaskan keluhan yang sarat. Kini dia mula merasa beban yang dipikulnya sekarang makin bertambah, lebih-lebih lagi apabila terpaksa mengetahui tentang semua urusan pentadbiran dan pemasaran. Pandangan dilontarkan ke dinding kaca yang memisahkannya dengan Khalisah, setiausahanya yang manis menawan.
Kelihatan Khalisah sedang tekun menaip. Gadis yang tinggi lampai dan seksi bergaya itu seringkali menarik perhatiannya. Bicaranya yang lembut dan tersusun, meruntun nalurinya. Itu belum termasuk jelingan dan senyuman manjanya, alahai bergoncang iman. Tiba-tiba dia tersedar, sepatutnya dia sudah bergerak sekarang untuk menemui Norman dan Harziq. Tanpa mengemas meja yang berselerak, akhirnya dia bangun dan mengatur langkah meninggalkan pejabat.
Ketika menghampiri kereta, dia terpandang kesan calar pada palang besi bumper depan. Hampir saja dia terlupa tentang kemalangan yang berlaku beberapa minggu lepas. Malah pemilik kereta yang dilanggar itu juga tidak menghubunginya untuk sebarang tuntutan. Timbul pula rasa bersalah dan kasihan. Sebenarnya kemalangan itu memang berlaku kerana kecuaiannya. Melihatkan kelajuan kereta di hadapannya itu, dia menjangka lampu merah akan diredahi tetapi siapa sangka sebaliknya pula yang berlaku. Tiba-tiba sahaja kereta di hadapannya itu berhenti dan ketika itu dia sudah tidak sempat menghentikan kelajuan secara mendadak. Masih terbayang mata yang mencerlung dan bibir comel yang mengomel. Danish tersenyum sendiri dan tanpa menunggu lama pantas sahaja dia masuk ke perut kereta.
Setelah memarkir kereta, dia mengatur langkah terus ke Starbuck Cafe. Di sana dia tercari-cari kelibat Norman dan Harziq, tapi tidak kelihatan. Pengunjung di kafe itu juga agak ramai dan kebanyakannya pelajar sekolah. Dia melepaskan keluhan lalu segera menghubungi temannya itu.
"Aaa…aa…on the way ni, on the way." Belumpun dia bersuara, Norman terlebih dahulu memulakan kata. Dia menggeleng lemah, tadi bukan main kata hendak menunggu, sudahnya dia yang sampai dulu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membeli minuman dahulu. Cuaca petang itu boleh tahan terik, membuatkan tekaknya kering.
"Excuse me." Ketika dia menoleh, seorang gadis yang berpakaian sekolah berdiri di sisinya sambil merenung tajam. Pada mulanya dia agak terkejut namun masih cuba mengukir senyuman. Memang panjang umur gadis itu kerana baru saja tadi dia teringat tentangnya. Rupanya gadis yang dikenalinya itu masih bersekolah.
"Hai." Tegurnya sambil mencapai minuman yang dipesan. Di kaunter bayaran itu mereka berdiri sambil merenung antara satu sama lain. Ada kelainan di pertemuan itu. Danish mula merasa kekok kerana renungan gadis itu tajam menikam dan reaksi yang bersahaja membuatkan dia merasa gugup.
"Kenapa tak call? Kereta macam mana?" Akhirnya dia memulakan bicara sambil menyedut minuman, menghilangkan rasa tidak enak dalam dirinya.
"Pertama, kad hari tu dah hilang dan tak tau camne nak contact. Nasib baik jumpa kat sini, kan? Kereta ok, dah bikin cuma…." Gadis itu meleretkan hujung ayatnya, memaksudkan sesuatu. Danish tersenyum, mengerti dengan apa yang ingin disampaikan. Tentu sajalah mahukan ganti rugi.
"Berapa nak kena ganti ni?" Soal Danish sambil menyedut minuman lagi. Kehausannya makin menjadi pula. Gadis itu tersenyum, agak nakal. Comel! Mata gadis itu tajam tetapi apabila tersenyum matanya seakan tersenyum juga. Apa orang kata, smiling eyes?
"Hmm….lima ribu." Balas gadis itu. Danish tersedak dan hampir tersembur minuman dalam mulutnya apabila mendengar permintaan itu. Masakan bumper yang sedikit terebeh itu ganti ruginya hingga mencecah ke lima ribu ringgit? Adakah gadis itu main-main dan sengaja hendak mengenakannya.
"Lima ribu? Kenapa mahal sangat ni?" Soalnya tidak puas hati. Kalau benar pun dia bersalah dan harus membayar ganti rugi masakan sebanyak itu. Nampak sangat gadis itu hendak mengenakannya. Dia bukannya budak-budak yang boleh diperbodohkan, bukannya dia tidak tahu, kalau setakat mengganti bumper yang baru sekalipun harganya tidaklah sampai begitu mahal. Paling mahal pun dalam seribu. Lagi empat ribu, apa yang gadis itu buat?
"Kita tukar bumper barulah, lepas tu spray cat, ketuk lagi tempat yang kemek, memanglah mahal sikit." Balas gadis itu selamba, seolah tidak ada rasa bersalah.
"Ada kemek ke? Tapi rasanya masih tak sampai lima ribu." Gadis itu mula menarik muka, seakan marah padanya. Mata itu merenung tajam sama seperti pertemuan mereka yang pertama dulu.
"Habis tu, bukan setakat ganti kereta saja. Emosi dan perasaan kita macam mana? Kejadian hari tu pertama kali dalam hidup kita, tekanan perasaan tau. Trauma jadinya. Kita terpaksa jumpa doktor. Kenalah bayar juga kos rawatan, ubat dan consultation fee. Sekarang ni kita masih fobia nak bawak kereta, pegang je stereng, tangan mula menggigil. Kaki ni rasa lemah je nak tekan minyak. Kenalah fikirkan perkara itu juga!" Penerangan gadis itu membuatkan Danish ternganga seketika. Apakah kemalangan kecil tempohari boleh menyebabkan trauma dan fobia pula. Macam tidak masuk akal.
"Macam ni pun ada?" Bisiknya perlahan. Gadis itu direnung sekilas. Memandangkan beberapa mata mula memerhati dan menumpukan perhatian ke arah mereka, dia malas hendak bertekak.
"Cek boleh?" Gadis itu tersenyum, lebar. Anggukan kepala membuatkan gadis genit itu nampak nakal sungguh. Memang nakal kerana berani mengetuknya! Akhirnya dia menurut saja walaupun masih tidak berpuas hati. Soalnya bukan kerana jumlah yang diminta tetapi terasa diri dipermainkan. Dengan budak sekolah pula tu! Tapi dia sendiri tidak mengerti kenapa harus tunduk pada budak sekolah itu. Arggghhhhh…..

No comments: