BAB 4
M
|
ata Aime
membulat sebaik melihat lelaki yang berjalan mengekori Arsyida itu. OMG!Ahh...macam mana ni? Agak-agak kalau sembunyi
bawah meja ni sempat tak? Cepat-cepat Aime menunduk, cuba menyelitkan badannya
di bawah meja sepantas yang mungkin.
“What are you doing?” Pertanyaan itu
membuatkan Aime mendongak. Baik Arsyida
mahupun lelaki itu, mereka sama-sama sedang menjengah padanya. Kantoi! Nampak juga
ke? Dia tersengih seketika sebelum menelan air liurnya sendiri. Hai Aime,
bodohnya kau. Kau ingat, kau dapat sembunyikan badan kau yang besar gedabak tu
ke?
“Saya...cari pen yang jatuh.” Alasan itu boleh pakai kut?
Entah, dia tak tahu. Yang pasti renungan lelaki itu semakin tajam. Perlahan-lahan
dia bingkas dan berdiri tegak. Dia yakin, lelaki itu tentu kenal dengan dirinya
apabila lelaki itu tak berkedip merenungnya. Ah, renungan lelaki itu
menakutkan. Sama seperti sebelum ni!
Ketika Aime diperkenalkan kepada lelaki itu, dia sudah
merasakan yang masa depannya semakin gelap. Lelaki itu tentu tak akan melepaskannya
begitu saja. Lihat saja pada renungan tajam lelaki itu. Memang penuh bermakna!
Memang dia tahu, dia tak dapat lari lagi kali ini.
“Azki, be good to your secretary.”
Kata-kata Arsyida itu disambut dengan senyuman Azki yang cukup sinis lagi
menakutkan Aime.
“I
will!” Haaa...dengar tu! Ayat dan nada lelaki itu sudah cukup jelas menerangkan
yang lelaki itu pasti akan buat sesuatu padanya. Aime gigit bibir, sudah mula
rasa takut. Alahai, kalaulah dapat putarkan masa. Tentu dia tak bertindak sesuka hati.
“Siapa nama kau?” Soal Azki sebaik Arsyida meninggalkan
mereka berdua.
“Err..saya, Aime.”
“Apa?”
“Aime. A.I.M.E.” Aime siap mengejakan lagi namanya untuk
lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu.
“Ada suara, kan? Kenapa tak cakap dengan jelas? Kau
ingat aku boleh dengar nama kau yang pendek tu?” Aime agak terkejut bila secara
tiba-tiba lelaki itu meninggikan suara. Bertambah gemuruh dia jadinya. Belum
pernah dia berdepan dengan orang yang begitu garang macam itu.
“Sebenarnya nama saya panjang, kalau saya beritahu
lagilah encik susah nak ingat. Baik saya beritahu nama yang encik nak panggil nanti.”
“Banyak
cakap! Ada aku mintak kau explain?” Serentak itu Aime menunduk. Terasa benar dengan bahasa
yang cukup kasar itu. Tak boleh ke lelaki itu berbahasa sedikit sopan dan
lembut padanya. Apa pun dia juga manusia, yang
punya hati dan perasaan. Mahu dihormati seadanya. Marah sangat ke lelaki ni
pada aku? Berkali-kali dia bertanya pada dirinya sendiri.
Azki memang
sengaja memberikan renungan yang tajam dan kata-kata yang cukup kasar untuk
perempuan itu. Jangan harap perempuan itu akan dapat menerima renungan yang menggoda
atau bahasa yang lembut darinya. Apa yang diberikan mulai saat ini, adalah yang
selayaknya untuk perempuan itu.
“Aku tak suka orang banyak cakap.” Ujar Azki lantas
terus berlalu masuk ke dalam biliknya. Sebaik melabuhkan punggung, dia
memandang ke arah Aime melalui dinding kaca yang memisahkan mereka berdua. Rasa
janggal bila pemandangan yang selama ini kosong tiba-tiba saja ada sebuah meja
dan seorang perempuan. Gemuk pulak tu!
Lama dia memerhatikan Aime, cuba mencari kelebihan
yang mungkin ada. Dan lima minit telah berlalu.....dia masih tak dapat mencari
apa kelebihan perempuan itu. Yang dia nampak, tubuh yang besar, yang saiznya
hampir sama dengan kabinet yang ada di belakang perempuan itu. Macam anak
gajah! Namun secara tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Manakan tidak, telatah
perempuan itu tika ini mencuit hati. Perempuan itu tidak dapat melepaskan
punggungnya yang tersekat pada palang kerusi.
“Stupid!”
Getusnya sendiri seraya menekan butang interkom. Serentak itu bunyi interkom di
luar dapat didengar dari biliknya.
“Ya, encik?”
“Kau tak pandang cermin
ke? Kau perasan kau tu kurus?”
“Err...”
“Badan kau tu besar, kenapa pakai kerusi yang kecik? Baik
kau tukar sebelum kerusi tu pecah pulak!” Ujarnya sebelum menekan semula butang
interkom itu. Tanpa memandang lagi pada perempuan itu dia terus membuka laptop
yang telah tersedia di atas meja. Dia
tak peduli kalau perempuan itu akan terasa atau tidak dengan ayat-ayatnya. Dia
tak perlu nak menjaga hati perempuan itu atau mana-mana perempuan yang mahu
menjadi setiausahanya. Ahh...kenapa Arsyida suka sangat menyakitkan hatinya?
Kenapa dihantar anak gajah tu? Dah pupus ke perempuan dalam dunia ni? Kini dia
melirik ke arah meja yang kosong. Mana agaknya anak gajah tu pergi? Mungkin
cari kerusi!
Dia kembali memandang
pada skrin laptopnya. Untuk seketika dia khayal melayari laman web. Tak sedar
dan hirau lagi dengan apa yang berlaku di sekelilingnya.
“Encik nak suruh saya buat apa-apa?” Pertanyaan itu
mengejutkan Azki. Serentak itu dia memandang pada Aime yang sudah berdiri di
hadapannya. Macam mana aku tak sedar anak gajah ni masuk bilik aku? Namun dia
buat muka selamba, mana boleh tunjuk reaksi terkejutnya itu. Jatuh standardlah nanti!
“Tak payah. Aku belum cacat, boleh buat sendiri
kerja-kerja aku!” Balasnya sambil memberikan perhatiannya pada skrin laptopnya
semula. Memang dia bercadang nak memboikot perempuan itu. Biarkan perempuan itu
duduk tanpa buat apa-apa sampai perempuan itu bosan dan akhirnya berhenti.
Macam mana kalau perempuan tu tak berhenti? Tahulah nanti dia nak buat sesuatu
yang lebih kejam.
“Encik, saya minta maaf kalau encik masih marahkan
saya.” Ayat itu buat Azki terhenti dari memandang laman web namun tidak pula
dia mengalihkan pandangan. Dia masih juga memandang skrin laptop walaupun
sekarang ini tumpuannya tidak ada di situ.
“Maaf?” Soal Azki sambil meleretkan nadanya.
“Pertama, pasal saya jadikan encik boyfriend saya hari tu. Sumpah, saya
bukan ada niat nak buat macam tu tapi sebab saya.....”
“Itu memang aku tak boleh terima!” Azki memotong
bicara perempuan itu sambil merenung tajam sekaligus buat Aime terkebil-kebil
memandangnya. Ketika itu Azki dapat lihat sepasang mata yang cantik. Ya, dia
dapat lihat ketika ini yang mata Aime cantik. Bersinar! Namun dia cepat
menyedarkan dirinya sendiri. Dia berdehem sebelum meneruskan bicara.
“Kau ingat aku tak ada taste ke? Suka hati aje nak panggil aku baby! Apa hal nak baby-baby
kan aku?” Ah! Memang dia tak boleh melupakan detik dipaut perempuan gemuk itu
secara tiba-tiba. Memang terkejut habis sampai tak terkata dia jadinya waktu
itu. Memang mati-mati dia ingat peremuan
gemuk itu perempuan gila! Tapi melihatkan perempuan gemuk itu seakan mempunyai
agenda, dia yakin perempuan itu sedang mempergunakan dirinya. Ah, tak
pasal-pasal sahamnya jatuh dengan mudah. Satu syarikat pasti tahu yang kini
kekasihnya adalah perempuan gemuk itu.
“Sukalah hati kau sekarang, ada boyfriend yang handsome
kan? So, satu company dah tahulah yang aku ni boyfriend
kau? Hah?” Herdiknya dengan geram dan serentak itu Aime buat muka sedih sebelum
menunduk memandang lantai. Ingat dia boleh termakan lihat muka sedih macam tu?
Tak mungkin!
“Itu saya tak pasti...tapi sebenarnya saya tak tahu
pun encik ni....”
“Yang aku ni Marketing Manager kat sini? Kau tak
perasan ke muka kawan-kawan kau yang terkejut hari tu? Oh...tentu kau ingat,
kawan kau terkejut sebab tak sangka kau ada boyfriend
handsome hea? Hah?”
“Manalah saya tahu....” Lirih saja Aime menjawab tapi
belum cukup kuat menggugat perasaan Azki. Hatinya yang masih sakit itu belum
sembuh pun.
“Kau ni memang perasan! Kau tak kenal aku siapa ke?”
Serentak itu perempuan itu menggeleng. Buat hatinya bertambah panas. Silap dia
juga, dia jarang-jarang masuk pejabat tentu saja pekerja baru macam Aime tidak
kenal dengannya.
“Sekarang, apa lagi yang kau nak cakap?” Soal Azki keras.
“Saya nak minta maaf juga pasal claim. Saya cuma jalankan tanggungjawab saya dan ikut prosedur.
Saya bukan suka-suka nak potong claim
encik.” Pengakuan itu buat Azki tersentak. Patutlah sejak dari tadi dia seakan mengenali suara perempuan itu. Tiba-tiba
sakit hatinya semakin menjadi-jadi. Bagus kau serah diri! Tak perlu aku cari
orang yang kerja tak pakai otak tu! Tak sangka, dia dipertemukan dengan
perempuan itu. Cukup mudah! Sebenarnya dia bukan terlupa untuk bersemuka dengan
orang yang memotong tuntutannya tapi tak punya kesempatan saja. Dia menutup
dengan kasar laptopnya sambil bangun dan mendekati perempuan itu. Saat ditatap
wajah yang semakin keruh itu, hatinya membuak-buak rasa marah. Namun dia tak
harus melepaskan kemarahannya begitu saja. Perlu dia balas dengan sewajarnya. Kini
dilihatnya Aime mula resah dan serba salah, mungkin kerana takut dengan
renungannya yang tajam. Kemudian perempuan itu menunduk saja tanpa memandang
padanya lagi. Tak sanggup agaknya mahu menatap wajahnya saat ini.
“Kau tahu apa kriteria yang harus ada pada seorang
setiausaha?” Azki memulakan pertanyaan. Namun tanpa memberi peluang kepada Aime
untuk menjawabnya, Azki laju saja meneruskan bicara.
“Kriteria yang harus ada pada seorang setiausaha adalah perlu
mengetahui pelbagai kemahiran supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan
lebih efektif. Termasuklah kemahiran berkomunikasi yang baik supaya senang
berurusan dengan orang ramai. Selain itu harus mempunyai ilmu pengetahuan yang
tinggi dan setanding majikan supaya pandangan dan pendapat boleh diterima pakai
dalam usaha memajukan syarikat. Dan yang paling penting.....paling PENTING, seorang
setiausaha itu perlu personaliti unggul di tempat kerja. Aku ulang sekali lagi,
BERPERSONALITI UNGGUL!” Azki turut memberikan pandangan yang cukup sinis, sengaja
mahu menyindir fizikal yang dimiliki perempuan itu. Ketika itu Aime sudah mempamerkan
wajah yang cukup sedih. Dia tahu perempuan itu sudah cukup terasa, tetapi dia
peduli apa?
“Dan kau tahu apa pula tanggungjawab dan tugas seorang
setiausaha?” Aime yang masih memandang hanya mengerutkan dahi. Azki sudah agak.
Aime memang tak tahu apa-apa, yang perempuan itu tahu hanya potong tuntutan
orang!
“Setiausaha bukan setakat penerima arahan
ketua, menyediakan minuman setiap pagi, membersihkan pejabat dan menguruskan
segala urusan pejabat. Tetapi seorang setiausaha
harus berperanan sebagai penjaga ketua, pemikir, penapis, penglipur lara,
pemberi serta pemulih semangat. Setiausaha juga harus kuat menyimpan rahsia apa
lagi kalau ia berkaitan dengan rahsia pejabat dan juga hal peribadi ketuanya.
Tapi kau jangan risau, aku tak harap pun kau akan buat semua itu untuk aku
sebab aku tau yang kau belum tentu dapat melakukannya.” Kini sekali lagi Aime
menunduk memandang lantai kembali. Azki mendengus perlahan. Asyik pandang
lantai! Entah apa yang menarik pada lantai biliknya itu, dia tak tahu.
“Aku nak kau dengar baik-baik arahan aku. Kau tak perlu
sibuk-sibuk tentang diri aku, dalam erti kata yang lain. Jangan jadi penyibuk!
Faham?!” Keras dia bersuara dan perempuan itu cepat-cepat mengangguk.
“Dan sekarang ni tugas kau, cari balik resit, bil atau
apa saja yang berkaitan dengan claim
yang kau potong hari tu. Lepas tu aku nak kau pergi Finance dan cari balik claim aku yang kau potong tu. Pastikan
semuanya dibayar semula. Settlekan
hari ini jugak. Kalau tak, kau bermalam kat sini!” Serentak itu Azki kembali
semula ke mejanya dan menarik semua laci. Pandangan tajam diberikan pada Aime
yang kini tercengang melihat laci yang terbuka itu. Padan muka!
AIME mengetap bibir. Geram! Marah, benci dan kecewa. Semuanya
bercampur jadi satu. Sampai hati Azki melemparkan kata-kata yang cukup berbisa
padanya. Mentang-mentanglah dia tak secomel Selena Gomez, tak seseksi Jennifer
Lopez, suka hati saja kutuk dirinya. Buruk sangat ke aku ni? Aku bukan teruk
sangat pun, cuma gemuk sikit aje! Kalaulah bukan kerana dia seorang yang
penyabar dah lama dia angkat kaki. Tapi tak mungkin dia beralah begitu saja.
Lagipun dia baru beberapa jam bersama Azki, tak sampai pun satu hari lagi. Nanti
satu syarikat ni akan gelak padanya, nak-nak Farah dan Sheera. Terpaksa jugalah
dia memulakan tugasnya.
Pencarian bermula! Habis semua laci diselongkar. Banyak
betul khazanah yang Azki simpan. Macam-macam ada dalam laci ni. Yang tak ada
cuma beruang dan harimau. Memang payah nak mencari resit atau bil dalam laci
tu. Sudahnya dia bukan buat apa yang disuruh tapi terpaksa juga mengemas laci
yang bersepah dengan bermacam benda. Selagi tak kemas, macam mana nak jumpa
resit dan bil. Baru kemas laci, letihnya macam orang panjat gunung. Dalam
mengemas tu sempatlah dia membelek harta karun milik Azki. Banyak juga kad dan
hadiah yang masih berbalut tidak dibuka. Melihatkan dari saiz kotak hadiah yang
masih berbalut, dia pasti isinya adalah pen, clip tali leher, tak pun cincin berjenama terkenal. Tapi yang
peliknya, kenapa hadiah-hadiah itu tidak dibuka?
“Simpan saja dalam laci ni
buat apa? Tak tahu nak menghargai
pemberian orang, sombong!” Omelnya sendirian sambil menyusun semula kad dan
hadiah-hadiah yang bersepah. Mujur saiz laci agak besar, memang boleh sumbat
semua benda-benda itu.
“Kau sedang berdoa untuk aku ke?” Aime terkedu, terkejut
sebenarnya bila suara itu bergema dalam bilik itu. Agak lambat dia mendongak
untuk melihat Azki yang tiba-tiba ada di sini. Pertanyaan berbaur sindiran itu
buat Aime kehilangan kata-kata untuk menjawab apatah lagi melihatkan renungan Azki
yang tajam. Mata pisau pun tak setajam renungan lelaki itu. Nasib baik dia
duduk bersimpuh di lantai, kalau sedang berdiri tentu sudah terjelepuk. Tak
tahan dengan panahan mata yang tajam menikam sanubari itu. Secara jujurnya,
lelaki itu sangat tampan. Walau tanpa senyuman.
Aime segera menyelitkan rambutnya yang panjang melepasi
bahu bila terasa ianya mengganggu pandangan. Rambutnya semula jadi lembut,
licin berkilat macam orang yang buat teknik rebonding
mudah sangat jatuh dan menutup muka. Tak mahu kerana rambut, terganggu
penglihatannya ketika ini. Dia mahu lihat lelaki itu dengan lebih dekat seperti
waktu ini. Azki lelaki paling tampan yang
dia pernah jumpa. Patutlah staf perempuan di sini selalu sebut nama Azki,
rupanya lelaki itu memang benar-benar memikat. Sudahlah tampan, kulit putih
merah, tinggi, tubuhnya nampak tegap dan sasa.
“Tolong beralih, aku nak jalan pun tak boleh. Menghalang laluan, ruang
luas jadi sempit” Aduh, sadisnya! Terseksa batin Aime mendengar keluhan lelaki
itu. Kalau tak suka dia menghalang laluan, tak payahlah suruh dia cari resit
dan bil. Akhirnya dia bingkas dan beralih agak jauh dari ruangan yang hendak
dilalui lelaki itu.
Azki
rasa kurang selesa bila Aime memerhatikan saja tingkahnya. Sampai nak cari fail
terasa macam mencuri pula. Dia membuka kabinet di belakang tempat duduknya.
Fail yang dicarinya, dicapai dan sebaik dia berpaling, kelihatannya Aime
cepat-cepat memandang ke arah lain. Mungkin tak mahu dia tahu yang perempuan
itu sedang memerhatikan gerak-gerinya.
“Jumpa
resit?” Sengaja Azki menyoal.
“Ada.. tapi mungkin ada lagi dalam laci tu.” Balas
Aime sambil memandang padanya.
“Kalau
kau jadi aku, kau ingat aku ada masa nak selongkar cari resit macam ni? Aku ada
banyak kerja lain nak buat daripada buang masa macam tu. Kalau ada yang cari
aku, kata aku jumpa client.” Aime
hanya diam dan pandang saja wajahnya. Entah apa yang perempuan itu lihat pada
wajahnya saat ini.
“Kau
dengar tak apa yang aku cakap ni?” Sergah Azki. Mahu menghentikan tingkah
perempuan itu.
“Dengar encik!” Jawab Aime dengan pantas. Tanpa
menunggu lebih lama, Azki segera berlalu. Tak ada apa yang boleh membuatkan dia
lama-lama di situ.
Aime hanya mengiringi langkah Azki dengan ekoran matanya.
Betul ke nak jumpa client?
Entah-entah jumpa makwe, bukan boleh percaya lelaki macam tu. Tengok pada kad
dan hadiah yang bersepah tadi tu, tentu perempuan yang bagi. Dia kembali
bersimpuh di lantai, mudah dan senang nak kemas laci yang bersepah. Nak berdiri
tentu letih, nak duduk di kerusi milik lelaki itu tentu kurang sopan. Duduk
sajalah di lantai ni, lagipun dia tengok lantai dalam bilik itu bersih dan
licin berkilat.
“Lah, duduk lagi? Boleh
tak jangan halang laluan? Karang
kalau tersepak, aku yang tergolek.” Serentak itu Aime mendongak, memandang
sekali lagi pada Azki yang kelihatan sedikit bengang. Dengan perasaan sebal, Aime
bingkas dan beralih lagi. Memberikan ruang untuk lelaki itu bergerak. Entah apa
yang lelaki itu hendak ambil kali ini.
“Mana diari aku kat sini? Kau dah buang ke?” Soal Azki
sambil menyelongkar laci pertama yang telah dikemas. Bulat mata Aime melihat
laci yang sudah kemas, bersepah semula. Dengan pantas Aime mendekati lelaki itu
lalu menarik diari yang elok tersusun di laci pertama itu.
“Ni dia encik.” Ujar Aime
sambil menghulurkan diari itu kepada Azki. Lelaki itu nampak serba salah,
mungkin segan sendiri. Tulah kelam kabut sangat, benda depan mata pun tak
nampak! Tanpa sebarang bicara lelaki itu mengambil diari itu dengan kasar dan
terus berlalu. Aime hanya menggelengkan kepala, kerenah lelaki itu memang
menguji kesabaran. Walaupun dia sudah mengagak akan berdepan dengan situasi
yang sukar, tapi tak sangka lelaki itu begitu membencinya. Lihat cara pandang
dan ayat yang dituturkan oleh Azki, jelas menunjukkan rasa benci terhadapnya. Kali
ini dia tidak duduk di lantai lagi tapi duduk di kerusi milik lelaki itu.
Lantaklah kalau nak dikata kurang sopan, yang penting mudah dia nak beralih
kalau lelaki itu mahu masuk semula di ruangan ini.
Setelah menyelesaikan arahan Azki tadi, dia
berkemas-kemas untuk pulang. Namun
telefon pejabat berdering, memaksa dia mengangkat gagang telefon.
“Claim aku
dah siap?” Tiba-tiba dia disergah begitu.
Kus…semangat! Mau terlompat dia dibuatnya.
“Err…dah encik. Pembayaran akan dibuat esok.”
“Kau rasa senang nak buat claim tu?” Senang! Kalau simpan dengan baik semua resit yang ada!
Tak menyusahkan aku nak selongkar khazanah kau tu! Mahu saja dia berikan
jawapan itu. Tapi membantu ke kalau dia jawab begitu. Tentu makin naik angin
lelaki itu.
“Tak encik.”
“Tahu pun. Lain kali kalau buat kerja pakai otak! Kau
ingat aku diam sebelum ni, aku tak tahu bayaran claim aku kurang? Kau ingat aku tak check? Kau tau tak yang aku claim
balik tu sebab aku dah guna duit aku. Kalau aku guna duit kau, tak apalah. Aku
pun tak kisah kalau kena tolak.” Dan selepas itu makin panjang Azki membebel
hinggakan dia naik letih mendengarnya. Malah ada ketikanya dia menjarakkan
sedikit telefon dari telinga. Aduh, tak sanggup nak dengar! Membebel satu hal, siap menjerit pula tu. Bila nak habis
ni? Teruknya bila lelaki membebel!
*** BILA MANUSIA MEMANDANG PADA KECANTIKAN.......
4 comments:
Huh..mulut mcm apa la azki ni...aci redah je ckp tu...bnykkn sabar ye aime
Aime go go go !!
Azki.....hehehe....
pssstttt..saya suka nama AZKI tu.. :)
Post a Comment