Friday, July 5, 2013

MISS XL



BAB 5

 
J


ika dulu Aime seorang yang bersemangat untuk ke tempat kerja, sekarang tidak lagi. Kalau boleh setiap kali dia bangun pagi, dia mahu tidur semula. Tak mahu masuk ke pejabat!

Sekarang semua orang sudah tak berani nak berbual mesra sangat dengannya. Semua orang kata, dia girlfriend Azki mana boleh nak dekat-dekat selalu nanti Azki marah dan naik angin. Ah, itu satu lagi masalah. Tak tahu macam mana dia nak membetulkan masalah yang dia ciptakan itu. Sampai sekarang, Azki marahkannya. Sudah hampir dua minggu Azki memulaukan dirinya. Azki memang buat dia macam tak wujud saja. Kalau bersuara pun asyik nak menengking. Entah apa yang lelaki itu marahkan sangat pun, dia tak tahu. Besar sangat ke kesalahan dia pada lelaki itu? Yang pelik tu, kalau tak sukakan dirinya untuk apa lelaki itu harus mengekalkan dia sebagai setiausaha. Transfer sajalah, tak pun pecat saja. Kerja sajalah sendiri. Macam yang lelaki itu kata; aku belum cacat, boleh buat sendiri kerja-kerja aku!

Kini setiap hari dia masuk ke pejabat tapi tak ada satu pun tugas yang Azki berikan padanya. Lelaki itu hanya duduk di dalam bilik, buat kerja sendirian. Sedangkan dia terpinga-pinga tak tahu nak buat apa. Tak kan asyik nak main game di komputer? Timbul juga rasa bosan kalau mengadap benda yang sama. Sudahnya dia membeli bermacam-macam buku tentang bidang pemasaran. Maklumlah, dia kan setiausaha kepada pengurus pemasaran dan punya banyak waktu yang terluang. Adalah masa dia membaca buku dan membuat kajian tentang bidang itu.

Sesekali dia mengerling pada Azki melalui dinding kaca. Kelihatannya lelaki itu sedang sibuk menguruskan sesuatu. Dia tak pasti apa, tapi tentu berkaitan dengan kertas kerja untuk pelanggan. Dia dapat melihat keseriusan lelaki itu ketika ini. Azki sudah tak hairan dengan keadaan sekeliling. Hanya sesekali saja lelaki itu melakukan regangan otot dengan melentokkan kepala ke bahu kiri dan kanannya. Menguakkan tangannya ke belakang dan berdiri seketika sebelum duduk semula. Tulah, sombong sangat! Tak nak minta bantuan aku, kalau tak tentu kau tak penat macam tu. Tentu saja dia akan membantu lelaki itu dengan sukarela. Dia kembali mengadap buku yang ada di hadapannya itu. Sesekali dia mewarnakan isi-isi penting dan cuba memahamkan mengikut fahamannya sendiri.

Pintu bilik tertutup kuat, mengejutkannya. Dilihatnya Azki terus saja melangkah pergi tanpa pamitan. Jangan kata pamitan, nak pandang pun tidak sekali. Tentu lelaki itu mahu pulang, tak pun jumpa kekasih. Ah...macam manalah rupa awek dia ek? Mesti cun! Tentu kurus dan cantik macam model. Tak mungkinlah lelaki itu nak berkasih dengan perempuan yang buruk rupa dan gemuk macam dirinya. Tentu buat malu saja.

Serentak itu dia terdengar bunyi telefon yang berdering namun tak jadi dia hendak mengangkat gagang telefon apabila bunyi deringan sayup-sayup kedengaran. Buat dia yakin yang deringan itu bukan dari tempatnya. Lalu dia membuka pintu bilik Azki dan ternyata deringan telefon itu memang datang dari bilik itu. Lantas dia mendekati meja Azki tetapi tidak jadi juga mengangkat telefon pejabat apabila terpandang telefon bimbit di atas meja bernyala dan bergerak-gerak. Dia pasti telefon itu milik Azki. Tertinggallah tu! Cuai betul!

            Hello?” Dia menjawab panggilan itu, bimbang kalau terlepas panggilan yang penting buat Azki. Nanti kena marah pula sebab kerja tak pakai otak. Tak boleh buat kerja semudah itu.

            “Siapa tu? Ini telefon Azki, kan?” Suara milik seorang perempuan kedengaran di hujung talian.

            “Ya, ini telefon dia. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”

            “Dia ada tak? Anyway you are...

            “Err, saya Aime. Saya secretary dia, encik Azki dah balik. Ada yang boleh saya bantu?”

            “Oh, thank god! Boleh tolong?”

“Tolong apa ya?”

“Hantarkan telefon dia yang tertinggal ke rumah. Dia memang selalu macam tu, asyik tinggal barang aje. Boleh, kan? Lagipun senanglah kalau dia nak jawab panggilan yang penting nanti.”

“Oh..boleh. Tak ada masalah.” Memang dia tiada masalah untuk lakukan itu semua memandangkan dia memang patut berbuat demikian. Susahlah kalau nanti ada panggilan penting buat Azki kalau telefon itu tidak dihantar.

 

 

“KENAPA lambat hari ni? Selalu balik awal?” Soalan itu tak mampu Aime jawab. Sebaliknya terus saja merebahkan badan di atas sofa.

 So…how’s  your day today, Miss Secretary?” Sekali lagi Farid menyoal.

Tired!” Jawab Aime pendek. Dipandang saja pada Farid yang ketawa. Memang ayahnya itu seorang yang mudah ketawa. Kadang-kadang tak lucu pun boleh ketawa.

“Tak kan hari ni bos baru bagi kerja pulak? Kan biasanya Aime goyang kaki aje?”

“Memang tak ada kerja tapi penat sebab cari alamat rumah. Ayah tahu kan orang ni baru aje balik duduk JB ni, manalah tahu jalan-jalan kat sini. Yang orang tahu jalan pergi dan balik dari rumah ke office je.” Aime melepaskan keluhan sambil pandang saja pada ayahnya yang tersengih. Dia memang letih sebab cari alamat rumah Azki semata-mata nak pulangkan telefon yang tertinggal.

“Hai, secretary nak apa tu dengan bos sampai cari ke rumah?” Tiba-tiba Fads menyoal. Adik lelakinya itu baru menjengahnya di ruang tamu ini dengan tersengih-sengih.

Secretary gemuk macam tulah....kalau cun dan kurus, bos yang datang ke rumah cari kita!”

“Hai, orang gurau pun nak terasa. Emo pulak hari ni....” Sela Fads sambil duduk di hadapannya. Aime mengeluh. Bukan sengaja nak emo, tapi kecewa. Kecewa sebab dapat bos yang tak peduli dan kasar. Kenapalah sampai sekarang Azki marah dan bencikannya. Dia dapat merasakan yang lelaki itu bencikan dirinya kerana dia gemuk. Ahh.... Keluhan dilepaskan. Kalau dia tahu, tak dinaikkan gaji dan diserapkan di bahagian pemasaran pun tak apa. Dia lagi seronok dengan kerjanya di bahagian Finance sebelum ini.

Should i quit?” Akhirnya Aime menyoal perlahan.

No!” Serentak Farid dan Fads menjawab. Dipandang wajah kedua-dua lelaki yang berada di hadapannya itu.

“Tapi orang rasa bos orang tu tak suka dan benci dengan orang. Maybe coz I'm fat!” Balas Aime lemah. Memang dia dah lemah nak kerja dengan lelaki bernama Azki itu. Dia tak tahu apa lagi nak buat supaya Azki tak marahkannya lagi.

“Jangan putus asa dan berapa kali ayah pesan, jangan pandang rendah pada diri sendiri. Gemuk bukan satu masalah, gemuk hanya ukuran saiz bukan ukuran hati. Yang penting hati kena baik. Kalau rasa bos tak suka tak apa. Aime buat kerja dengan baik dan penuh rasa tanggungjawab. Satu hari nanti mesti dia suka.” Pujukan Farid buat Aime bertambah gundah. Macam mana nak buat kerja dengan baik kalau satu kerja pun tidak diberi. Apa lagi kalau dia nak buat Azki suka padanya. Memang tak mungkinlah!

“Orang ada idea supaya bos tak benci.” Aime pandang Fads yang nampak begitu bersungguh-sungguh. Entah apa ideanya tu!

“Kata orang…. benci boleh jadi suka kalau kita pikat hati dia.” Spontan Aime mencebik. Merepek betul si Fads ni! Nak pikat macam mana? Belum pikat pun, Azki tak sudi nak memandang. Nanti kalau dia pikat, mau lelaki itu yang lari. Ayahnya sudah ketawa panjang. Mesti ketawakan dirinya.

“Lawaknya.” Ujar Aime sambil menjeling geram.

“Betullah orang cakap ni. Tawan hati barulah dia tak marah-marah lagi.” Kata Fads bersungguh-sungguh.

“Ingat pikat-memikat dan tawan hati orang ni senang ke? Kalau senang, dah lama awak tu dapat abang iparlah. Lagipun tak kan nak tergedik-gedik kat dia. Pleaselah…walaupun orang ni gemuk but i'm not that desperate!”

“Sapa suruh tergedik-gedik? Kalau perempuan gemuk tergedik-gedik kat orang pun, orang geli. Memang larilah jawabnya, betul tak ayah?”

“Kurang asam!” Serentak itu Aime membaling bantal kecil pada Fads yang sedang ketawa. Ayahnya apa lagi, sambung lagi ketawa.

Hello….buatlah cara terhormat. Layanlah dia dengan lembut tak kiralah dia sedang marah pun. Pastu, setiap pagi sediakan minuman yang sedap-sedap. Lepas ni gi belajar dengan ibu macam mana nak buat air. Buat air selalu fail!” Cadangan Fads itu disambut dengan hilai tawa Farid yang makin menjadi-jadi. Ah...ayah, entah apa-apa!

“Ayah ni asyik ketawa je. Tak kelakarlah!” Rengek Aime sambil buat muka.

Then, bagi suprised present. Mana tau nanti dia ok?” Akhirnya Aime diam. Cadangan Fads itu rasanya macam tak menjadi tapi sekurang-kurangnya boleh dicuba. Agak-agak berjaya ke? Kalau dia seorang yang cantik dan kurus, adakah dia akan melalui semua ini?

 

 

“XL?” Soal Azki tak percaya.

“Kau tak tahu ke budak-budak kat office gelar girlfriend kau macam tu? Dia orang kata, XL kira dah cukup besar walaupun saiz sebenar dia mungkin lagi besar.” Ayat Shahril yang disusuli dengan tawa kecil mula menyakitkan hati Azki.

“Tak tahu pulak dalam diam kau bercinta!” Sekali lagi Shahril mengusiknya.

“Kau jangan nak buat aku bengang! Kau ingat, aku dah gila ke apa? Dah tak ada perempuan lain nak dijadikan girlfriend?” Shahril ketawa dan bukannya lelaki itu tidak tahu cerita sebenar. Azki sudah pun bercerita apa yang berlaku pada dirinya sejak mereka berjumpa tadi.

Best apa ada secretary. Ada orang layan, tolong buat kerja, buat air kalau haus.”

Best? Secretary orang lain saiz XS, aku punya secretary...XL! Baik tak ada dari ada!”

Orait lah tu, lain dari yang lain. Lagipun bagus juga macam tu tak adalah kau hilang tumpuan masa bekerja. Kalau secretary kau cun sangat pun susah. Aku takut kau pendek umur, hari-hari jantung bekerja keras.”

“Ya...memang tak hilang tumpuan tapi masuk aje office terus hilang mood!” Memang itulah yang dirasakan sekarang. Lebih baik tak ada sesiapa di depan biliknya dari ada tapi menyakitkan mata.

“Tapi aku dengarlah orang cakap, orang gemuk ni berjiwa penyayang. Prihatin dan ambil berat. Kau tak payah susah-susah jaga dia, dia yang akan jaga kau. Tak untung tu?”

“Banyaklah kau punya untung! Aku tak perlukan orang jaga aku. Aku tengok dia jalan aje, aku yang rasa semput. Jangan satu hari nanti dia betul-betul putus nafas sudah! Aku nak tolong macam mana? Nak angkat pun tak kuat, silap-silap dia lagi kuat nak angkat aku.”

“Tapi si XL tu sweetlah. Aku suka juga berbual dengan dia sebab dia ni ada satu karakter yang perempuan lain tak ada.” Dia pandang Shahril dengan rasa tak percaya. Apa kena dengan Shahril ni? Suka dengan anak gajah tu ke?

“Dia jenis yang tak maintain cun macam perempuan lain. Senang kata tak plastiklah. Pastu kalau kau perasan, suara dia sedap. Agaknya kalau menyanyi mesti merdu. Nanti kalau kau boring-boring boleh suruh dia nyanyi.” Sambung Shahril.

“Banyaklah! Entah-entah bila nyanyi, siling office terus runtuh.”

“Ni aku nak ingatkan. Jangan benci-benci sangat nanti jadi suka.” Ayat Shahril itu buat dia ingin ketawa. Suka? Tak mungkin! Tengok pun tak berselera, mana kan datang sukanya?

“Eh..aku bukan macam kau. Dari XS sampai ke XL kau nak test. Aku bukan senang-senang nak sukakan orang macam tu aje. Macamlah kau tak kenal aku.” Balas Azki dengan bersungguh-sungguh. Tak rela dan minta dijauhkan untuk jadi suka pada anak gajah yang Shahril panggil miss XL itu.

Hello...aku ingatkan kau aje. Cintakan buta, mana kenal usia dan saiz badan. Memang kau tak senang-senang nak suka orang tapi takut nanti kau tersuka pulak kat yang XL. Orang yang memilih dan cerewet ni biasanya dapat yang lain dari yang lain!” Azki terdiam pada ayat terakhir Shahril itu. Hatinya jadi tak sedap. Jadi tak enak! Macam mana kalau ayat Shahril itu bakal jadi kenyataan. Tak kan aku akan suka anak gajah tu? Tak ada yang menarik pun! Ada! Tiba-tiba hatinya menjerit begitu. Anak gajah, bersuara lembut dan lunak. Memang boleh buat orang melayan perasaan tapi kena tutup matalah. Kalau tak buat macam tu, memang hilang mood.

“Alamak, bos call. Kejap.” Ujar Shahril sebaik telefon berdering.

“Ya, puan Arsyida? Pesanan untuk Azki? Ya, dia ada dengan saya.” Serentak itu Azki menendang kaki Shahril. Geram apabila Shahril kata begitu. Ah...apa hal pulak ni? Ingat bila tertinggal telefon di pejabat, tiada yang mengganggu.

“Puan Arsyida bagi tau suruh kau datang rumah ambil phone kau kat sana. Dan jangan lupa pulangkan phone Emili. Eh, kau tak bilang pun budak tu dah balik?” Beritahu Shahril sebaik menamatkan perbualan dengan Arsyida.

Phone aku? Siapa yang hantar ke sana? Azki mengeluh perlahan, terbayang pada anak gajah.

“Tengok, kan betul aku kata si XL tu prihatin! Sampai dihantar phone kau tu ke sana. Untung ada girlfriend yang memahami.” Sakat Shahril sambil tersengih-sengih.

“Otak kau! Ah...menyibuk betullah anak gajah tu!” Getusnya geram. Dahlah dia tak suka nak menjejakkan kaki ke rumah Arsyida.

“Tak baik panggil macam tu, tak sopan.”

“Oh..yang kau orang panggil dia XL tu sopan sangatlah ya?” Tempelaknya pula. Shahril tersengih kemudian ketawa.

            “Eh, seriously. Kalau XL tu tak gemuk, kau akan suka pada dia tak?” Soal Shahril. Azki menggeleng. Atas dasar apa yang membolehkan dia suka pada perempuan itu.

            “Dia gemuk ke, kurus ke, kenapa aku nak kena suka?”

            “Aku tanya aje tapi aku jamin, kalau XL tu kurus, ramai lelaki suka padanya. Termasuk, kau!”

            “Aku atau kau?” Azki menyoal sambil tersenyum sinis. Macamlah dia tak kenal Shahril! Shahril angkat kening dan tersenyum panjang.


BERSAMBUNG......

Andai dia punya hati, janganlah dipandang rupa yang buruk ini.
Andai dia punya hati, janganlah dihina diri yang cela ini.
Andai dia punya hati, janganlah diabaikan hati yang mudah rapuh ini.
Andainya dia punya hati........

- XOXO -