Thursday, December 6, 2012


 

BAB 2

 
"Damn!” Azki menyumpah sambil melempar telefon bimbitnya ke atas meja. Dia belum habis bercakap, talian sudah dimatikan. Beraninya perempuan tu, kalau aku jumpa memang siap! Memang silap besar kalau nak cari pasal dengannya. Netbook di atas meja juga ditutup dengan kasar. Kini dia sudah bingkas dari duduk, langkahnya menuju ke balkoni. Dia mahu menenangkan dirinya yang kepanasan. Dia fikir tuntutannya hanya salah bayar tetapi rupa-rupanya telah dipotong dengan sengaja. Memang dia tak boleh terima. Sebenarnya bukan baharu kali ini saja dia perasan, bayaran yang masuk ke dalam akaunnya berkurangan dari apa yang dia tuntut. Sudah banyak kali tapi dia tak punya masa nak soal dan tanya mengapa tuntutannya itu begitu. Setelah mendengar saja penjelasan dari perempuan yang bodoh itu, terus saja suhu kemarahannya meningkat. Dia rasa tercabar. Melampau, suka-suka nak potong claim aku!
        Dia melepaskan keluhan. Kalau saat ini dia berada di pejabat, memang dia sudah bersemuka dengan perempuan yang bodoh itu. Namun, sebentar tadi siapa sangka dia sempat tenggelam dalam kelunakan suara milik perempuan itu. Suara yang kedengaran sungguh lembut sekali. Buat dia terdiam sebentar dan hilang punca. Rasa senang mendengarkan suara yang lembut itu. Entah macam mana rupa tuan punya suara itu. Secara jujur, dia tak berniat nak marah apalagi menengking tapi mendengarkan suara di talian semakin lembut dan lunak, dia harus bertegas. Memang enak didengar, namun dia tak mudah terpesona.
          Telefon berbunyi namun dibiarkannya untuk seketika. Tanpa dilihat terlebih dahulu siapa pemanggil itu, dia sudah dapat meneka. Siapa lagi kalau bukan Arsyida? Tak pun si Shahril, teman baiknya merangkap budak pesanan Arsyida. Untuk seketika, telefon berhenti berbunyi. Dia tersenyum, senang dapat membiarkan keadaan jadi begitu. Dia pasti Arsyida akan sakit hati. Aku peduli apa!
              Akhirnya dia melangkah masuk, hasrat untuk menyambung tidur tidak kesampaian bila bunyi telefon terus mengganggunya. Nak tak nak dia terpaksa juga menjawabnya.
            Yes?” Soalnya sambil melangkah semula ke balkoni. Sengaja mahu orang yang menelefonnya dengar bunyi persekitaran luar kondonya itu. Senanglah kalau nak menipu, kata dia sedang buat kerja luar.
            “Azki, where are you?” Suara tegas itu sedikit pun tak menakutkannya.
            On the way to meet my client.
            Always with the same reason!” Dia tersenyum, dia tahu si pemanggil tidak bodoh. Tahu alasan yang diberikan tak berjaya nak membuatkan si pemanggil itu percaya tapi dia tak kisah. Dia memang suka ulang alasan yang sama.
            Since you’re the only one not working today please pick up Emili at the airport today at 3.00pm.”
            What?!” Jeritnya. Ah...ni yang aku kisah! Kenapa mesti aku?
            You heard what i said. Please be punctual, don’t be late. Kesian dia nanti.”
            “Hai...teksi melambak, bukan dia tak boleh balik sendiri!”
           Pick her up or else you’ll regret it! Is that clear, dear?” Serentak itu dia mematikan talian. Dia mendengus, geram. Ini yang dia cukup tak suka. Main gertak-gertak! Memang dia tak takut pada gertakan itu tetapi dia terpaksa menurut sebelum sesuatu terjadi padanya. Arsyida pernah membekukan semua kemudahan yang dia ada termasuk menarik semula kereta sport kesayangannya kerana kegagalannya mematuhi perintah perempuan itu. Ada kalanya dia terpaksa akur dan tak dapat mengelak. Memang kejam! Sengaja gunakan kelemahannya itu untuk membuatkan dia terpaksa menurut.
           Damn!” Jeritnya sekuat tidak di balkoni itu. Mahu buang rasa geram dan sakit hati. Hari ini saja, berkali-kali dia menahan sakit hati. Semuanya kerana perempuan! Menyusahkan orang. Ni satu lagi perempuan yang tak cukup sifat aku kena hadap!

              AZKI hanya memerhatikan Emili yang sendirian memunggah bagasinya ke dalam but kereta. Tanpa melihat reaksi gadis itu, dia pasti Emili sedang membebel sendirian dan siap buat muka. Mungkin sedang mengeji dirinya. Hmm...ingat aku tak tahu yang kau suka mengata dan buat muka? Dia sudah masak benar dengan perangai gadis itu.
           “Mama kata dia yang nak datang.” Ujar Emili sebaik masuk ke dalam perut kereta. Tanpa menoleh pada empunya suara itu, Azki terus menekan pedal minyak.
          “Kau ingat, apa yang dia kata semuanya akan jadi kenyataan ke? Kau lupa ke yang dia tu hanya pandai berjanji aje? Aku yang jadi mangsa! Macamlah kau tu cacat nak berjemput!” Sela Azki tanpa sedikit pun menoleh pada gadis di sebelahnya itu. Tiada apa yang menarik pada gadis itu kalau ditatap lama-lama. Baginya gadis itu biasa-biasa saja, pakaian pula menyakitkan mata. Bukan dia nak sangat tengok gadis itu berpakaian seksi atau mendedahkan aurat tetapi cukuplah kalau sehari tidak mengenakan t-shirt dengan jeans lusuh dan buruk. Serupa benar macam gadis berpeleseran. Nama saja belajar hingga ke oversea tetapi pakaian entah apa-apa.
             Seketika suasana di dalam kereta sepi. Dibiarkan saja Emili, ibarat hanya Azki seorang saja yang ada di dalam kereta itu. Dia tak mahu peduli langsung kerana baginya dia datang dan menjemput pun sudah cukup baik. Namun dia terpaksa juga mengerling pada Emili yang kini mengganggu perhatiannya. Kelihatannya Emili begitu leka melayan permainan Angry Birds melalu i-pad yang dipegangnya. Siap ketawa dan mengomel sendiri.
            “Hish...tak kena pulak. Nanti kau...” Itulah ayat yang diulang-ulang tanpa jemu oleh Emili.
           “Nak main tu main ajelah. Mulut jangan bising! Aku tak suka orang memekak masa aku drive.” Sengaja dia berkata begitu untuk membakar perasaan Emili. Biar gadis itu tahu yang dia memang sampai sekarang tidak senang atau pendek kata menyampah melihat Emili.
           “Alah itu pun nak berkira.” Bisik Emili sendiri tapi Azki masih dapat mendengar dengan jelas. Dia belum pekak!
          “Aku tak suka orang mengganggu masa aku drive.”
          “Ganggu apanya? Cuit pun tak.”
          “Kau ni belajar je sampai ke oversea tapi bodoh, kan?” Serentak itu dia menjeling pada Emili. Sengaja mahu melihat reaksi gadis itu ketika ini. Ternyata Emili memberikan jelingan yang cukup tajam. Dia tersenyum sinis, senang melihat gadis itu sakit hati dengan ayatnya sebentar tadi. Rasakan!
          “Gangguan tu tak semestinya melalui sentuhan. Bunyi bising pun satu gangguan.” Sambungnya lagi dan kali ini Emili mencebik.
          “Itu tak boleh, ini tak boleh!” Bentak Emili perlahan.
          “Ini kereta aku, kalau kau tak suka, aku boleh berhentikan kau tepi jalan.” Bukan Azki tak tau yang kini Emili sedang merenung tajam padanya. Malah makin dia buat muka sombongnya. Biar gadis itu semakin panas dengannya. Dia mengulum senyum, senang bila gadis di sisinya itu menutup i-pad. Rasa kemenangan berpihak padanya. Dijeling sekilas untuk melihat reaksi Emili lagi, kini gadis itu berpeluk tubuh dan memandang ke luar tingkap.
           Sebaik perjalanan mereka tiba dan belum pun sempat enjin kereta dimatikan, Emili keluar dan menutup pintu kereta dengan kasar. Sekaligus mengejutkan Azki yang masih ada di dalam kereta. Lalu dia turut sama keluar dan menjerit pada Emili.
         “Haaa, baguslah tu perangai! Macam tu ke perempuan?”
         Emili mencebik, tak menghiraukan suara Azki yang meninggi saat ini. Terbit pula rasa menyesal sebab tak tanggalkan terus pintu kereta milik lelaki itu. Kalau tanggal, barulah betul-betul ganas! Dia melajukan langkah tanpa mempedulikan lelaki yang selalu menyakitkan hatinya itu. Baginya, Azki adalah seorang lelaki yang paling menjengkelkan yang pernah dia temui. Tak tahu kenapa, makin hari makin tebal rasa menyampah dan benci terhadap lelaki itu. Sudahlah kasar, perasan bagus pulak tu! Ingat, kau sorang saja lelaki dalam dunia ni ke? Excuse me...ada puluhan juta lelaki yang lebih baik dari kau ler!
           “Oii, tak kan nak tinggal barang kau kat but kereta aku macam tu aje? Kalau kau tak nak, kejap lagi aku campak kat longkang!” Jeritan Azki sekali lagi buat Emili bengang. Arrgghhh! Emili mengetap bibir, menahan geram. Dia berpaling dan melangkah semula ke arah kereta tanpa mempedulikan pandangan Azki ketika ini.
            “Kau jangan nak main hempas but kereta aku tu. Karang aku tak jamin kalau kau tak dapat masuk rumah dengan selamat!” Serentak itu Emili memandang pada Azki yang sedang merenung tajam padanya. Entah mengapa tiba-tiba dia rasa gerun dengan ugutan itu. Nak-nak bila lelaki itu merenung dengan tajam, seolah-olah serius dengan ayat yang dilontarkan sebentar tadi. Pernah dulu dia mengabaikan ugutan Azki, sudahnya habis satu rumah dia dikejar lelaki itu. Siap main tarik-tarik baju lagi. Begitulah ganasnya Azki suatu ketika dulu, langsung tak nak mengalah atau mahu memberi muka padanya. Apa saja yang dia buat mendapat perhatian lelaki itu. Bukan dapat perhatian yang baik-baik tapi perhatian yang lelaki itu berikan menyakitkan hati.
           Setelah mengeluarkan bagasinya dengan penuh lemah-gemalai lagi bersantun, but kereta ditutup dengan cukup berhati-hati. Sengaja nak beri muka pada Azki yang masih memerhatikannya.
          “Puas hati?” Soalnya pada Azki yang hanya memandang padanya. Azki tidak bersuara tapi masih seperti tadi. Memerhatikannya macam dirinya itu penjenayah. Kali ini dia menghayun langkah lebih pantas dari tadi. Tak mahu lama-lama bersama lelaki yang menjengkelkan itu.
           “Oii! Kau tu masuk rumah orang melayu, dah tak reti-reti nak bukak kasut? Duduk oversea baru empat tahun, dah lupa diri!” Sindiran Azki buat Emili tersentak, terus mati langkah yang sedang dihayun. Serentak itu dia menunduk, memandang pada kakinya. Hish...macam mana boleh silap ni? Tanpa sedar, dia sudah masuk ke dalam rumah dengan berkasut. Sebab nak cepat sangat mengelak dari lelaki itu, sampai terlupa nak menanggalkan kasut terlebih dahulu. Tentu Azki sedang tergelak! Dia berpatah semula ke muka pintu. Buat pula muka selamba konon tak rasa apa-apa. Tanpa melihat lagi ke arah Azki, dia membuka kasut dan terus masuk semula ke dalam rumah. Dia tahu Azki masih lagi berdiri di kereta sambil memerhatikannya. Nak balas pandangan lelaki itu? Tak payah! Karang ada aje yang nak dikomen!
            Sebaik masuk ke dalam bilik dan meletakkan bagasinya di tepi katil, Emili segera menjengah ke tingkap. Kereta milik Azki sudah meluncur laju keluar dari perkarangan laman. Entah kenapa dia jadi kesal kerana harapannya, lelaki itu akan berubah setelah sekian lama tak berjumpa. Kalau tak berubah dengan banyak, sedikit pun jadilah. Cukuplah sekadar tidak mengeluarkan kata-kata yang kasar. Jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan lelaki itu akan melayannya dengan baik dan mesra. Macam abang Ishan melayannya dengan cukup sempurna. Ah...kenapa Azki tak sama macam abang Ishan? Kenapa marah dan dendam Azki tak pernah surut?
 
BERSAMBUNG LAGI... :) XOXO!


Friday, November 23, 2012


 
 
 
 
BAB 1

 



“XL?

 
 Kau rabun ke apa?” Bentak Farah.
“Miss XL tu gelaran dia kat sini. Tak kan orang nak sebut XXL, panjang sangat! Nak gelar blue hippo, karang macam menghina ciptaan Tuhan. Anyway kat office kita ni XL dah cukup besar ok? Semua staf perempuan kat sini saiz XS, paling gemuk pun saiz M. Even dalam building ni pun, kau ada nampak ke perempuan lain macam dia? Ada?” Penjelasan Sheera buat yang lain ketawa mengekek di dalam pantry itu.
           Aime yang sejak tadi berdiri di luar pantry itu hanya mampu mendengarkan perbualan mereka dengan hati yang cukup pedih. Tak sangka rupanya aku ada gelaran! Miss XL? Huh! Jahatnya mereka. Di depan aku semuanya bukan main mesra lagi, minta itulah, tolong buat inilah. Rupanya, ini yang mereka umpatkan jika di belakang aku!
         “Tapi, aku tengok lelaki-lelaki kat sini bukan main suka berbual dengan si gemuk tu. Kenapa ya?”
          “Alah, lelaki-lelaki tu setakat bual aje tapi kalau tanya dorang balik, ada ke yang nak jadikan dia tu girlfriend? Tak adanya. Kalau kau tanya pada Ramli buncit tu pun, dia pun tak nak si Miss XL tu.”
        “Hmm....kalau bukan kerana dia tu rajin buat kerja tak ada maknanya aku nak layan dia. Gemuk! Eee...sakit mata aku. Kenapalah dia tak kuruskan badan dia tu? Tak penat ke bawak badan macam tu? Aku yang tengok ni je pun rasa letih!” Sahut Farah sambil ketawa kecil.
        Aduh.....sakitnya! Aime merintih sendiri dan dia makin terseksa mendengarkan umpatan mereka. Patut ke dia menyergah mereka sekarang? Patut ke? Tapi untuk apa? Bukannya dapat sembuhkan semula hatinya yang sudah tercalar ini. Lagipun mereka tentu akan jawab balik, tak ada sebut nama pun? Kenapa nak terasa, kan? Tapi siapa lagi perempuan gemuk dalam office ni? Ada ke orang lain selain dirinya? Ada ke? Lantas dia berlalu saja dari situ. Tidak jadi hendak masuk ke dalam pantry untuk buat minuman. Separuh hatinya hancur, lebur! Dia sudah tidak ada mood untuk mengadap kerja-kerja yang melambak di atas meja. Semuanya hanya dipandang dengan pandangan kosong. Dia asyik teringat pada kata-kata yang mencalarkan perasaannya tadi. Miss XL! Salah ke kalau aku gemuk? Aku menyusahkan orang ke?
         Aime tak pernah rasa penat dengan dirinya sendiri. Malah dia lebih rajin berbanding dengan orang yang lebih kurus dalam pejabat ini. Orang minta tolong, dia tolong. Walau sibuk macam mana pun, dia sedaya upaya membantu. Baginya kerjasama dan saling membantu itu perlu. Satu keluhan dilepaskannya. Dia menundukkan kepala, memandang pada badannya sendiri. Merenung pada perut yang berlipat dua. Ada ke orang gemuk yang memang nak jadi gemuk? Tentu tidak! Semua orang nak kurus, tapi dia tak mahu mendesak dirinya untuk ke arah itu. Dah dia memang gemuk sejak dulu lagi, tentulah payah nak kurus. Lemak yang tersimpan pun dah tepu, memang jenuhlah nak cair. Akhirnya dia capai beg tangan, bingkas dengan malas sekali untuk pulang. Hari ini dia tak larat untuk lama-lama di pejabat. Tak seperti kebiasaannya, yang selalu pulang jam 7 atau 8 malam.
           “Eh, Aime. Awalnya hari ni? Ni baru pukul 5.” Sapa Linda ketika dia bergegas menahan pintu lif untuk turut sama masuk.
          “Hmm...ada hal” Jawabnya pendek kerana tiada mood untuk berbual mesra sebaik terpandangkan sekumpulan perempuan yang mengumpatnya di dalam pantry tadi.
         “Kau nak gi dating ke?” Soal Sheera pula dengan mesra, buat Aime meluat. Berlakon baik, huh! Aime sekadar angkat kening dan senyum. Sakit hatinya belum hilang.
         “Amboi, diam-diam ada boyfriend hea...sikit pun tak cakap-cakap.” Giat Linda pula.
         “Hish...orang macam kau pun ada boy....” Ayat Farah terhenti sebaik disiku Sheera.
         “Errr....maksud aku..aku...” Farah teragak-agak untuk menyambung kembali ayatnya itu. Aime faham benar kenapa Farah begitu. Dalam celupar bimbang juga yang Aime akan terasa. Mungkin sebab dia selalu membantu kerja-kerja perempuan itu. Terus-terang, perempuan yang baru saja sebulan bekerja itu memang tak tahu apa-apa tentang akaun. Entah macam mana perempuan itu boleh bekerja di sini. Mungkin sebab kenal orang dalam kut?
           Sebaik pintu lif terbuka, Aime terus keluar. Namun dia tersenyum sendiri sebaik terpandangkan ada seorang lelaki sedang berdiri tidak jauh dari pintu lif. Lelaki itu sedang membelek telefon bimbitnya sendiri. Lantas Aime melajukan langkah dan terus saja memaut mesra lengan sebelah kanan milik lelaki itu.
           “Hi, baby! Sorry sayang lambat.” Ujar Aime sambil tersenyum. Lelaki itu menoleh dan memandang padanya. Aime memberikan senyuman dengan renungan yang cukup bermakna.
          “Kita nak ke mana ni? Tengok movie ke?” Soal Aime agak kuat sambil menjeling ke arah Farah, Sheera dan yang lain-lain. Saja nak bagi mereka dengar. Mereka yang berdiri tidak jauh darinya memandang dengan rasa tidak percaya. Kenapa? Terkejut? Tak percaya? Perempuan gemuk macam aku ada kekasih? Dia mahu gelak tapi ditahan, apa tidaknya masing-masing melopong dengan mata yang membulat. Ya, tentu saja mereka terkejut dan tak percaya. Lelaki di sisinya itu bukan calang-calang lelaki. Sudahlah handsome, bergaya pula tu! Lelaki yang bergaya, berdiri saja pun boleh terserlah kehebatannya. Kalau nak bandingkan lelaki itu dengan dirinya, memang tak sesuai langsung. Macam kera dengan penguin saja!
            “Err...kami balik dulu.” Ujar Sheera teragak-agak sambil berlalu bersama teman-temannya. Aime tersenyum puas. Esok pagi mesti tersebar gosip tentang dirinya. OMG! Miss XL ada boyfriend! Handsome pula tu! Eh, macam mana perempuan gemuk boleh dapat lelaki handsom dan bergaya ya? Kemudian dia tergelak sendiri, membayangkan ayat-ayat seumpama itu tersebar dari mulut ke mulut.
            “Ehem...” Deheman keras itu menyedarkan dirinya. Lantas dia menoleh dan lelaki di sisinya itu merenung tajam. Kemudian lelaki itu menarik kembali lengan yang masih dikepit itu dengan kasar.
           “Err....sorry!” Ujar Aime sambil buka langkah seribu. Apa lagi yang dia boleh katakan selain kata maaf itu. Renungan tajam milik lelaki itu menakutkannya. Lebih baik dia cabut saja. Sebelum masuk ke dalam perut kereta, sempat lagi dia menoleh. Mahu melihat reaksi lelaki tadi. Ternyata lelaki itu masih memandang padanya sambil bercekak pinggang. Cepat-cepat dia masuk ke dalam perut kereta. Uii...takutnya. Yang aku ni pun satu! Asal boleh aje nak paut lengan orang. Entah lelaki itu baik ke tidak! Entah-entah penyamun, tak pun bapa ayam ke? Dia sendiri pun tak sangka, tiba-tiba saja idea gilanya datang begitu saja.
 
SUDAH beberapa kali Aime berpusing di hadapan cermin. Membelek dirinya untuk kesekian kali. Hari ini dia mengenakan sut warna hitam dengan skirt potong A paras lutut. Walaupun gemuk, dia masih tetap bergaya. Sentiasa menjaga penampilan diri kerana baginya, itu penting. Tak kurus tak mengapa asal penampilan terjaga. Mesti bersih dan kemas. Rambutnya yang lurus dan lembut disisir sekali lagi sebelum melangkah keluar dari bilik. Entah kenapa, pagi ini dia begitu bersemangat. Luar biasa semangatnya hari ini dari hari biasa. Hari ini dia akan datang ke pejabat dengan gembiranya.
Seperti jangkaannya! Hari ini kecoh satu pejabat, tentang hal semalam. Mau tak kecoh? Siapa sangka perempuan macam aku ada boyfriend yang handsome, kan? Dia tersengih, gembira. Tiba-tiba dia teringat pada lelaki yang dia jadikan sebagai boyfriendnya semalam. Lelaki yang handsome tapi punya renungan yang tajam. Memang menakutkan. Entah siapalah lelaki itu, tak kan orang jahat kut? Dia berkira-kira sendiri. Agaknya kerja di sini juga. Entah floor yang mana, bahagian apa, dia pun tak tau sebab tak pernah nampak. Selama dua bulan dia bekerja di sini, semalamlah kali pertama dia ternampak lelaki itu. Mungkin Tuhan sengaja mengirimkan lelaki handsome itu untuknya.       
“Aku rasa macam nak bunuh diri tengok Miss XL semalam. Huh...tak boleh terima, tak boleh terima.”
Aime mengulum senyum sambil berpura-pura tak mendengar Farah sedang berbisik dengan gengnya. Bunuh diri? Ish, ish, ish...sampai macam tu sekali ke? Tak cium bau syurga tau kalau buat macam tu. Bagus juga dia terdengar umpatan mereka semalam, jadi tahulah dia sekarang siapa Miss XL yang dimaksudkan. Dia senyum lagi, entah kenapa rasa seronok sangat.
“Aime...” Panggilan itu buat dia menoleh. Sheera sudah bertenggek di hujung mejanya. Mentang-mentang kurus, suka hati saja bertenggek macam tu. Agak-agak kalau aku yang bertenggek macam tu, mau terbalik meja!
“Hmmm..” Sahutnya malas.
“Errr....dah lama ke kau bercinta dengan dia?” Pertanyaan Sheera buat dia hendak tergelak. Baru aje semalam! Boleh ke beritahu macam tu? Ish...mana boleh nanti pecahlah rahsia aku.
“Lamalah jugak.” Balasnya tanpa memandang pada Sheera. Berpura-pura sibuk dengan kerja-kerjanya.
“Macam mana boleh jumpa dan bercinta?” Pengorek rahsia! Memang itulah kerja Sheera. Lepas korek rahsia orang nanti jaja satu bangunan, dari tingkat atas sampai bawah semuanya tahu nanti.
“Adalah.” Tak kan dia nak cerita. Sebab baru semalam dia jumpa lelaki itu. Bercinta apa kalau sekadar paut lengan tak sampai 10 minit.
“Itu pun nak rahsia...”
Deringan telefon menyelamatkan Aime dan serentak itu Sheera berundur darinya beralih ke arah Farah pula. Dia sekadar menjeling sambil mengangkat gagang telefon.
What happen to my claim?” Satu suara keras bertanya. Buat dia terkejut namun masih cuba memikirkan dan mengingati kalau dia mengenali suara itu. Bukannya nak beri salam atau kenalkan diri!
Hello, selamat pagi. Dengan siapa saya bercakap ni?” Soalnya perlahan. Tidaklah bernada keras macam pemanggil di dalam talian itu. Untuk seketika tiada jawapan. Senyap saja.
Hello? Selamat pagi.” Sekali lagi dia bersuara.
“Kau yang in charge on monthly claim?”
“Err…ya saya. Siapa ya yang bercakap tu?”
“Macam mana kau kerja ni haa? Bayar claim tak betul! Lain yang orang claim lain yang kau bayar?” Dia mula bingung. Dah kenapa orang dalam talian ni? Angin pasang ke tiba-tiba nak menjerit macam tu? Dia menarik nafas, mahu mengawal dirinya agar tak terjangkit sama penyakit orang yang di dalam talian itu.
“Maaf ya, dengan siapa saya bercakap ni?”
“Berapa ramai claim orang lain yang kau bayar tak betul? Sampai kau tak tahu sedang bercakap dengan siapa?”
“Maaf encik, saya memang tak cam langsung suara encik. Lagipun banyak claim yang saya handle. Tapi tak mungkin saya salah bayar melainkan saya potong claim encik kerana….”
“Potong? Kau potong claim aku? Apa hal kau nak potong claim aku? Hey, kau buat kerja tak pakai otak ke? Suka hati kau nak potong-potong, ingat aku suka-suka nak claim kalau tak perlu?!”
Maaf encik, claim yang encik submit tu mungkin tak lengkap. Saya bukan suka-suka nak potong kalau tak ada sebab. Mungkin encik tak sertakan bukti pembayaran dan kalau tidak disertakan bukti pembayaran seperti resit ataupun bil, claim tersebut saya terpaksa cancelled.”
“Sejak bila perlu bukti pembayaran ni? Selama ni tak ada pun prosedur macam ni? Kau jangan nak pandai-pandai buat prosedur sendiri. Ingat syarikat ni, bapak kau yang punya?” Aduh! Dah melampau ni! Sampai nak melibatkan bapak pulak ni. Patut aku menjerit juga ke ni? Patut ke? Tak perlu kot? Nanti kalau aku sama naik macam pemanggil tu, tak ada bezalah aku dengan pemanggil yang biadap tu, kan?
Sekali lagi dia menarik nafas, membetulkan sistem pernafasan sekaligus mengawal perasaannya yang sudah terbakar.
“Ya, itu memang prosedur. Saya telah diarahkan untuk reject claim yang tidak lengkap tapi memandangkan saya ni masih bertimbang rasa dan baik hati, saya tidak pulangkan claim encik tu, saya cuma potong aje. Jika encik masih ingin menuntut juga, sila serahkan semua resit atau bil yang berkenaan. Di harap juga encik dapat menyerahkan claim yang lengkap di masa akan datang agar tiada sebarang kesulitan seperti ini. Maaf saya tak dapat nak layan encik lebih lama memandangkan saya ada kerja lain. Terima kasih kerana menghubungi saya.” Serentak itu dia terus meletakkan gagang telefon. Rasanya tak perlu dia nak layan lelaki biadap macam tu. Biarpun dia berjaya mengawal intonasinya ketika bercakap dengan pemanggil biadap itu tadi tapi dadanya rasa nak pecah. Apakan tidak, suka hati saja dia ditengking begitu. Kalau dia yang bersalah tak mengapa juga. Biadap betul! Siapalah manusia tu?
Banyak tuntutan yang dia kendalikan dan bukan hanya si pemanggil itu seorang saja yang telah dipotong tuntutannya. Jadi manalah dia tahu siapa menelefon? Lagipun seingatnya, dia tak pernah dengar suara si pemanggil itu tadi. Ingat aku ada magic ke boleh tahu pulak siapa yang call? Huh!
It must be Azki, right?” Tiba-tiba dia dikejutkan dengan soalan itu. Serentak itu dia menoleh. Arsyida yang berdiri tidak jauh darinya, memandang serius.
“Err...Puan....saya...” Aime terus bingkas dan jadi serba salah. Tentu Arsyida mendengar cara dia menjawab panggilan itu tadi. Tapi bagaimana Arsyida tahu yang pemanggil itu tadi adalah Azki? Tapi kalau betul, macam mana? Dia cuba mengingati kembali perbualan tadi, rasanya dia masih menjawab dengan berhemah walau ditengking-tengking. Kini nafasnya semakin sesak.
It's ok.” Ujar Arsyida serius kemudian berlalu. Aime melepaskan nafas lega. Arsyida buat jantungnya berdegup kencang. Rasa tak mampu nak bernafas dengan tenang. Semua orang tahu yang Arsyida sangat tegas dan serius. Jarang benar wanita itu tersenyum atau berbual kosong. Namun dia sangat mengagumi wanita itu. Wanita itu cekal dan berani menguruskan sebuah syarikat sendirian. Dia bangga kerana semakin ramai wanita yang berjaya tetapi untuk berjaya tentu bukan mudah, kan? Walaupun sudah berusia tetapi masih aktif dan anggun bergaya.
Aime memandang sekeliling, bila terasa sunyi dan sepi. Patut pun, semuanya sudah duduk di tempat masing-masing. Mungkin kerana kedatangan Arsyida sebentar tadi membuatkan kumpulan bergosip dan malas bekerja begitu rajin bekerja sekarang ini. Nak kena Puan Arsyida selalu datang ke department ni kut baru masing-masing jadi rajin? Dia tersenyum sendiri. Namun mengenangkan kembali pemanggil biadap sebentar tadi, hatinya jadi sakit semula. Kalau benarlah pemanggil itu bernama Azki seperti yang dijangkakan oleh Arsyida, dia memang kenal sangat-sangat. Kenal pada nama saja, kerana dia banyak menerima tuntutan daripada lelaki itu. Kenal secara fizikal atau peribadi memang belum pernah. Tapi baru dengar suara saja dia sudah dapat agak bagaimana karakter lelaki itu. Biadap dan pendek akal! Apa salahnya kalau Azki bercakap dengan sopan? Selidik dulu apa sebabnya tuntutan lelaki itu tidak dibayar sepenuhnya. Macam manalah dia hendak membuat bayaran jika tuntutan yang diberikan tidak lengkap? Resit atau bil, tiada satupun yang diberikan. Sudahnya dia cuma dapat membayar elaun perjalanan saja. Lagipun dia telah menghantar e-mel pada lelaki itu, memberitahu yang semua tuntutannya itu terpaksa dipotong. Tak kan lelaki itu tak baca e-mel yang dihantar? Tapi walau apa pun masalah lelaki itu, seharusnya perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik. Bukan menyerang orang melalui panggilan telefon macam tadi. Suka-suka saja nak marah dan tengking-tengking. Arggghhhh... Satu keluhan berat dilepaskan bagi membuang rasa geramnya saat ini. Mana hilangnya rasa seronok yang sebentar tadi bermukim dalam hatinya? Mana?
 
BERSAMBUNG.... XOXO!

Miss XL!

Lamanya aku tinggalkan blog ini hinggakan terkial-kial nak menggunakannya....OMG!
Teruknya aku...ok...mulai hari ini aku akan gunakannya, update apa yang patut...termasuk
post cerita terbaharu....novel Miss XL....

Luv u all....XOXO!